Hayat Awal Moshe_Dayan

Moshe Dayan dilahirkan di kibbutz Deganya Alef (Deganya 'A') di Palestin, berhampiran Kinneret (Laut Galilea), yang semasa itu masih menjadi jajahan Empayar Turki Uthmaniyyah.

Bapanya Shmuel Dayan dan ibunya Devorah adalah pelarian Yahudi dari Ukraine (Ukraine ketika itu adalah jajahan takluk Empayar Rusia). Moshe adalah anak sulung kepada pasangan itu. Pada usia 14 tahun, Moshe menyertai Haganah kumpulan militant rahsia yang bergerak di “bawah tanah” dan memberikan perlindungan kepada penempatan Yahudi daripada serangan oleh orang-orang Arab. Ketika itu Haganah masih baru ditubuhkan.
Moshe mempelajari taktik peperangan gerila daripada Charles Orde Wingate, seorang Kapten Tentera British yang memimpin patrol malam yang dibentuk untuk menentang gerombolan penentang Arab. Moshe amat terpengaruh dan kagum dengan ajaran dan pegangan ekstremis pegawai Inggeris ternama Orde Wingate yang Pro-Zionis semasa Moshe menjadi seorang Sarjan sebelum Perang Dunia II.

Perang Dunia II

Moshe ditahan oleh pihak berkuasa British dalam tahun 1939 apabila pergerakan Haganah diharamkan oleh pihak British. Moshe dibebaskan dalam tahun 1941, apabila Haganah memperbaharui kerjasama dengan pihak British dalam penentangan menentang Kuasa-Kuasa Paksi semasa Perang Dunia II.
Moshe menjadi pegawai sangkut dengan Divisyen ke-7 Infantri Australia menentang pasukan tentera Perancis Vichy di Syria. Semasa kempen ini, Moshe kehilangan sebelah matanya apabila terkena peluru yang ditembak oleh seorang penembak hendap (sniper) ketika membuat pemerhatian dengan binokular. Disebabkan keberanian yang ditunjukkan oleh Moshe, seorang Pegawai Australia mengesyorkan Moshe diberikan pingat keberanian. Moshe Dayan diberikan anugerah Distinguished Service Order (DSO), salah satu anugerah keberanian tertinggi yang diberikan kepada anggota Tentera British.